Sebelum Perkahwinan dengan Nabi Muhammad s.a.w. Hindun binti Abi Umaiyah

Nama peribadi beliau ialah Hind atau Hindun.[1][2] Bapa beliau ialah Abu Umaiyah ibn Al-Mughirah ibn 'Abdullah ibn 'Umar ibn Makhzum ibn Yaqaẓah yang turut dikenali sebagai Suhail atau Zad ar-Rakib.[8] Abu Umaiyah merupakan ahli keluarga elit dalam Puak Quraisy, terkenal dengan sifat pemurahnya terutama kepada musafir.[9] Ibu beliau pula ialah 'Ātikah binti 'Āmir ibn Rabī'ah, dari suku Firas ibn Ghanam Bani Kinanah.[2][10]

Perkahwinan dengan Abu Salamah

Sebelum perkahwinan beliau dengan Nabi Muhammad , Ummu Salamah telah berkahwin dengan Abu Salamah ibn `Abdi'l-Asad al-Makhzumi, yang ibunya ialah Barrah binti Abdul Mutalib. Abu Salamah merupakan salah seorang sahabat rapat baginda.[11] Umm Salamah melahirkan empat cahaya mata iaitu Zainab (Barrah), Salamah, Umar dan Ruqaiyyah (Durrah).[12][13]

Memeluk Islam

Ummu Salamah dan suaminya Abu Salamah adalah antara yang terawal memeluk Islam.[10] Dikhabarkan bahawa hanya Ali, Abu Bakar dan sebilangan kecil sahaja yang memeluk sebelum sebelum mereka berdua.[6][10] Walaupun mendapat tentangan dan makian hebat dari Kaum Quraisy berkenaan pengislaman mereka, Ummu Salamah dan Abu Salamah tetap mempertahankan akidah mereka.[9]

Apabila penindasan bertambah teruk, penganut Islam yang baru mula mencari kehidupan di luar Makkah. Nabi Muhammad mengarahkan pengikutnya yang baru memeluk Islam, termasuk Ummu Salamah dan Abu Salamah, untuk berhijrah ke Habsyah. Ummu Salamah meninggalkan kehidupannya yang mulia bersama suku kaumnya di Makkah untuk berhijrah. Ketika di Habsyah, mereka dikhabarkan yang penindasan di Makkah semakin berkurangan disebabkan pengikut yang beragama Islam semakin ramai. Hebahan tersebut membuatkan Ummu Salamah, suami beliau, dan orang Islam yang lain ingin pulang ke Makkah. Ketika kepulangan mereka, kaum Quraisy sekali lagi meningkatkan penindasan mereka. Maka, Nabi Muhammad mengarahkan pengikutnya untuk berhijrah ke Madinah yang dikenali sebagai Hijrah. Ummu Salamah, bersama suami dan anak mereka, Salamah, mula merancang untuk berhijrah. Walau bagaimanapun, suku Ummu Salamah menghalang dan mengurungnya di Makkah, manakala suku Abu Salamah mengambil Salamah.[14]

Ummu Salamah menceritakan semula kisah ini:

Sebelum kami keluar dari Makkah, beberapa orang dari suku aku menahanku dan memberitahu suamiku: 'Walaupun kamu boleh bebas berbuat sesuka hatimu, kamu tiada kuasa terhadap isterimu. Dia anak kami. Kamu ingat kami akan membiarkan kamu mengambilnya daripada kami?' Mereka kemudiannya menyambar dia (Abu Salamah) dan merampas aku daripadanya. Suku suamiku pula, Banu 'Abdul Asad, melihat mereka mengambil aku dan menjadi marah. 'Tidak! Demi Allah' mereka menjerit, 'kami takkan membiarkan budak itu. Dia anak kami dan kami lebih berhak ke atasnya.' Mereka kemudiannya mengambilnya dari tanganku dan menariknya daripadaku.[15]
—Ummu Salamah

Abu Salamah berhijrah ke Madinah berseorangan, meninggalkan anak dan isterinya di Makkah.

Sejak terpisah dengan suami dan anaknya, setiap pagi Ummu Salamah akan pergi ke tanah lapang dan duduk sambil menangis. Hal itu dilakukan selama setahun sehingga pada suatu hari seorang sepupunya dari Bani al-Mughirah melihatnya dan berkata kepada ahli sukunya yang lain, “Tidakkah kamu bersimpati terhadap wanita malang itu? Kalian telah memisahkannya daripada suami dan anaknya.”

Tidak lama selepas itu, Bani Mughirah membenarkan Ummu Salamah pergi mencari suaminya di Madinah. Bani Asad juga mengembalikan puteranya, Salamah kepada Ummu Salamah. Lalu, Ummu Salamah mengeluarkan untanya dan membawa bersama anaknya keluar mencari suaminya. Beliau memulakan perjalanan bersendirian bertemankan anaknya yang masih kecil, namun pergantungannya kepada Allah sentiasa melebihi segala-galanya. Di dalam perjalanan, beliau bertemu dengan Uthman bin Thalhah dan dia dibantu perjalanannya sehingga beliau bertemu dengan Abu Salamah.[16]

Kematian Abu Salamah

Ketika perkahwinannya bersama Abu Salamah, Ummu Salamah (dalam kisah yang diriwayatkan oleh Ziyad ibn Abi Maryam) pernah bertanya kepada suaminya untuk membuat perjanjian sekiranya salah seorang daripada mereka meninggal dunia, yang seorang lagi tidak akan berkahwin lagi. Walau bagaimanapun, dalam kisah ini, Abu Salamah menjawab dengan menyuruh Ummu Salamah berkahwin semula selepas kematiannya. Dia kemudiannya berdoa, "Ya Allah, jika aku mati maka berilah Ummu Salamah seorang suami yang lebih baik dariku yang tidak akan membuatnya sedih dan tidak akan menyakitinya.!"[17]

Ketika Peperangan Uhud (Mac 625), Abu Salamah mengalami kecederaan yang teruk. Apabila Abu Salamah sedang nazak akibat lukanya yang banyak, dia mengingatkan semula sebuah kisah kepada Ummu Salamah yang mengaitkan pesanan yang pernah didengarinya daripada Nabi Muhammad : "Aku mendengar Rasulullah bersabda, 'Apabila musibah melanda kalian, dia perlulah berkata, "Sesungguhnya daripada Allah kita datang dan kepada-Nya kita akan kembali."' Dan dia pun berdoa, 'Ya Allah, berikan aku sesuatu yang lebih baik daripada ini yang hanya Engkau, Yang Maha Tinggi dan Maha Agung, dapat memberi'".[18] Kisah ini diceritakan dengan pelbagai variasi tetapi isi kandungannya utamanya tetap utuh.

Suami beliau akhirnya meninggal dunia akibat kecederaan yang diterimanya semasa di Jabal Uhud.[1][2] Ummu Salamah ingat Hadith yang diingatkan suaminya sebelum kematiannya, dan mula membaca doa tersebut.[19]

Berikutan meninggalnya Abdullah ibn Abdulasad,[1][2] Ummu Salam dikenali sebagai 'Ayyin al-Arab - secara harfiahnya bermaksud "mata Arab", dan secara kiasannya bermakna "orang yang kehilangan suaminya" akibat tangisan dan kesedihan yang ditanggung. Beliau tidak mempunyai keluarga lain di Madinah kecuali diberikan sedikit bantuan oleh kaum Muhajirin dan Ansar. Selepas tamat iddahnya selama empat bulan sepuluh hari, Ummu Salamah mendapat tawaran untuk berkahwin.[19] Abu Bakar dan Umar masuk meminangnya tetapi ditolak.[1] Kemudian, Muhammad sendiri meminang Ummu Salamah. Pada mulanya beliau agak berat hati untuk menerimanya dengan berkata, "Wahai Rasulullah, saya punya tiga sifat. Saya seorang wanita yang sangat kuat cemburu dan saya takut Tuan akan melihat sesuatu yang aka menyebabkan kemarahan Tuan dan menyebabkan Allah menghukum saya. Saya juga seorang wanita yang sudahpun berusia dan seorang wanita yang mempunyai anak-anak kecil."[19]

Walau bagaimanapun, baginda menjawab setiap kerisauannya dengan, "Berkenaan kecemburuan yang kamu katakan itu, saya berdoa kepada Allah yang Berkuasa agar menghilangkannya. Berkenaan usia yang kamu sebutkan itu, saya juga mempunyai masalah yang kamu hadapi. Berkenaan tanggungan keluarga yang kamu katakan itu pula, keluarga kamu adalah keluargaku juga."[19]

Rujukan

WikiPedia: Hindun binti Abi Umaiyah http://darulmuhajirinselangor.blogspot.com/2014/06... http://www.ezsoftech.com/stories/companion5.asp http://www.islamicvoice.com/january.2003/child.htm... http://www.messageofthaqalayn.com/48-umm%20salamah... http://quran.com/33/30-32 http://quran.com/33/53 http://www.themodernreligion.com/family/m-past.htm... http://0-www.oxfordislamicstudies.com.library.colg... http://www.introducingislam.org/info/tatheer/chapt... http://www.introducingislam.org/info/tatheer/chapt...